BANGI, 21 Nov. – Yang Dipertua ISMA cawangan Kelantan, Ustaz Sharipudin Ab. Kadir berkata, percakaran yang berlaku antara UMNO dan PAS telah memburukkan imej Islam dengan memperlihatkan bahawa itulah Islam yang sebenar kepada musuh-musuh Islam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu doa memohon kehancuran UMNO dan BN selepas solat hajat sempena muktamar parti PAS di Stadium Sultan Muhamad IV, Kota Bharu, Sabtu lalu.
“Isu yang berlaku ini, yang berkelahi bukannya antara muslim dengan non-muslim. Tapi orang Islam dengan Islam, yang bukan Islam hanya tengok apa yang berlaku dan dalam masa yang sama menunjukkan bahawa seolah-olah itulah Islam yang sebenar.”
Jelasnya lagi, perkara tersebut turut memperlihatkan ketidakmatangan politik orang Islam di Malaysia.
Yang Dipertua ISMA cawangan Kuantan, Ustaz Rushdan Abdul Halim pula berpandangan PAS sebagai parti Islam seharusnya berdoa meminta hidayah, bukannya meminta kepada kehancuran orang Islam yang lain.
“Kita sepatutnya meminta hidayah untuk orang Islam, tak boleh doakan kehancuran sebab kehancuran akan mengurangkan orang Islam dan akhirnya kekuatan Islam menjadi lemah.
“Kalau minta hidayah, dia kembali kepada Islam dan akan kuatkan kembali Islam dan muslimin,” jelas beliau.
Turut mengulas isu yang sama ialah Yang Dipertua ISMA cawangan Shah Alam, Encik Dollah Sani yang menyifatkan perkara tersebut sebagai suatu fitnah yang besar kepada Islam dan bangsa Melayu.
“Kita kena berhati-hati kerana bangsa lain akan melihat bagaimana percakaran sesama Islam sampai macam itu sekali sedangkan bangsa lain tak adalah sampaibegitu, jadi itu fitnah yang besar kepada Islam dan bangsa Melayu.”

0 komen:
Post a Comment