KUALA LUMPUR 26 Nov – Masih belum terlambat sekiranya pemimpin Pas khususnya Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendengar keluh kesah kalangan akar umbi parti itu yang mula menolak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Ini kerana kalangan akar umbi parti berkenaan mungkin telah sedar dan berkemungkinan tidak mahu ‘bersubahat’ dengan menyokong individu yang penuh dengan bebanan sejarah peribadi dan pelbagai dakwaan lain, kata Exco Pemuda UMNO Datuk Zubir Zabidi.
“Mungkin itulah jangkaannya kerana hari ini suara penolakan terhadap Anwar makin kedengaran dan masih belum terlambat jika pucuk pimpinan parti itu melihatnya secara mendalam serta menyeluruh.
“Selain daripada dakwaan moral, Anwar mungkin dilihat sebagai liabiliti kepada pembangkang dan mungkin itulah menyebabkan akar umbi Pas mula bersuara dan mula menyatakan kebimbangan mereka dalam soal tersebut,” katanya kepada UMNO-Online.
Katanya lagi pemimpin Pas perlu menyedari dan bermuhasabah dengan mendalam apakah akibat dan kesannya dengan menyokong Anwar untuk mengetuai pakatan pembangkang.
“Banyak dakwaaan dan banyak lagi desas-desus yang berkaitan dengan Anwar ini….Apakah mereka sengaja menutup mata mereka untuk melihat dan membuat pertimbangan sebaik mungkin. Kalau ahli di peringkat akar umbi bersuara, apa lagi yang mereka tunggu,’ katanya.
Beliau seterusnya mengajak rakyat agar melihat bagaimana kerakusan pembangkang yang hanya mengutamakan kuasa dan bukannya mengutamakan rakyat.
“Bayangkan belum dapat apa-apa lagi soal Perdana Menteri dah jadi haru-biru…dah menjadi satu isu yang besar dan kesepakatan antara mereka dah memang longgar. Rakyat tidak perlu gadaikan masa depan dan tidak perlu rosakkan masa depan anak cucu mereka.
“Percayalah dan berilah kepercayaan kepada BN yang memahami aspirasi dan mereka dan tidak seperti pembangkang yang hanya menjual mimpi mereka kepada rakyat.,” katanya. -MediaUMNO


0 komen:
Post a Comment