RAPATKAN BARISAN!!! BLOG MAKLUMAT PELBAGAI SUMBER.. CEPAT DAN TEPAT... TERUS BERSAMA KAMI UNTUK BERITA-BERITA TERBARU DARI BLOGGER!!!

Sunday, 18 November 2012

HADI LUPA SEBUT HUDUD DALAM UCAPAN DASAR


Abdul Hadi Awang (dua dari kiri) dan Nik Aziz Nik Mat (tengah) bersama barisan kepimpinan Pas Pusat dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 16 Nov. - Usaha Pas untuk melaksanakan hukum hudud sekiranya pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) terus menjadi tanda tanya apabila Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang langsung tidak menyentuh perkara tersebut dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Pas Ke-58 di sini hari ini.

Sebaliknya, Abdul Hadi dalam ucapannya lebih memberikan tumpuan kepada persiapan jentera parti menghadapi pilihan raya umum bagi memastikan Pas memenangi sebanyak mungkin kerusi yang ditandinginya.


"Saya mengarahkan semua pihak dalam parti supaya berada di tahap bersiap siaga paling tinggi untuk menghadapi pilihan raya umum kerana kita akan berdepan dengan mainan nakal serta provokasi media dan Barisan Nasional (BN) yang terus-menerus melaga-lagakan pemimpin Pas ke tahap yang tidak dapat kita bayangkan.


"Mereka juga akan terus memporak-perandakan Pas dengan rakan-rakan pakatan pembangkang sebagai langkah untuk melemahkan saf dan semangat kita," katanya.


Muktamar Tahunan Pas Ke-58 berlangsung di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di sini.

Yang turut hadir Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw.

Semalam, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menjelaskan, pakatan pembangkang secara umumnya bersetuju bahawa hukum hudud akan dilaksanakan sekiranya pembangkang berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum nanti.


Harun berkata, Pas akan membentangkan undang-undang itu di Parlimen sekiranya memperoleh majoriti dan selepas mendapat sokongan serta diluluskan, akan menjadi undang-undang negara dengan semua orang harus taat dan patuh.


Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya juga lebih berminat menyentuh bagaimana Pas akan berdepan ujian getir pada pilihan raya umum nanti kerana parti lawan iaitu UMNO dan BN didakwa akan menggunakan pelbagai cara penipuan untuk kekal berkuasa.


Malah dakwa beliau, Pas juga akan berdepan dengan tiupan api perkauman dan ketegangan yang dimainkan oleh media arus perdana yang menjadi perkakas dalam mempertahankan kerakusan kerajaan UMNO dan BN.


"Di saat ini sehinggalah kita berdepan dengan pilihan raya umum nanti, seluruh negara akan berdepan dengan taufan wang yang akan masuk ke setiap rumah dan jiwa manusia di tanah air kita ini.


"Pas akan berdepan dengan ujian getir rakyat yang dipujuk dengan wang, projek dan sebagainya, selain pelbagai cara penipuan yang menjadi senjata utama lawan kita," katanya.


Dalam ucapan bertema 'Negara Berkebajikan Teras Perpaduan' itu, Abdul Hadi turut mendakwa, tindakan melambat-lambatkan pilihan raya umum ini merupakan satu strategi BN bertujuan menurunkan moral petugas Pas, selain melemahkan kedudukan kewangan parti itu.


Beliau turut mendakwa konsep federalisme songsang yang memberikan kuasa negeri yang terhad, campur tangan dan tekanan secara tidak adil oleh kerajaan Pusat menyebabkan kerajaan pakatan pembangkang tidak dapat melakukan perubahan besar dan menukar sistem pentadbiran di negeri yang mereka kuasai.


Abdul Hadi turut mempertikaikan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 oleh kerajaan yang beliau dakwa gagal diberikan roh pegangan agama yang tulen kepada pelajar untuk berdepan dengan cabaran krisis akhlak pada masa hadapan.


Presiden Pas itu turut mempersoalkan keputusan kerajaan memperkenalkan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang menurutnya, walaupun ada kebaikan, tetapi dilaksanakan secara separuh masak tanpa menyediakan infra tenaga tambahan mencukupi dan hanya mendera guru terlibat.


Justeru, Abdul Hadi menegaskan, Pas sudah bersedia untuk memerintah negara ini bersama rakannya dalam pakatan pembangkang bagi memikul dan melaksanakan amanah.


"Maka Pas mengadakan tahaluf siyasi, dalam persefahaman pakatan pembangkang yang menegakkan konsep dalam persamaan dan tidak memaksa dalam perbezaan.


"Iltizam politik menerusi tahaluf siyasi ini menuntut kita terus bekerjasama dengan rakan-rakan pakatan pembangkang secara kolektif dalam mengurus pentadbiran negeri dan negara," katanya.

TERUS BACA DISINI


© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 komen:

Post a Comment

VIDEO PILIHAN : KALIMAH ALLAH