Kewajiban melaksanakan hukum Islam ke atas kafir zimmi
merupakan satu perkara yang teramat jelas di dalam Islam. Tidak ada khilaf di
kalangan ulama tentangnya dan kafir zimmi yang telah hidup di dalam Daulah
Islam selama lebih 13 abad pun mematuhi hal ini. Kita perlu memahami bahawa
hukum Islam adalah hukum Negara, bukannya hukum ke atas individu Muslim sahaja.
Contoh yang mudah sahaja seperti hukum potong tangan untuk si pencuri – ini
adalah hukum negara di mana tidak kiralah sama ada pencuri itu Muslim atau
kafir, maka wajib dipotong tangannya. Begitu jugalah dengan hukum rompak,
bunuh, judi, riba, rogol, zina dan sebagainya. Hukum Islam adalah hukum yang
wajib diterapkan oleh pemerintah ke atas setiap warganegara. Di dalam kehidupan
Daulah Islamiyyah, orang-orang kafir zimmi (sesuai dengan akad zimmah dengan
Negara Daulah) hanya dibolehkan menjalankan hukum-hakam yang berhubungan dengan
akidah, ibadah, makanan, perkahwinan, kematian dan sejenisnya menurut
hukum-hakam agama mereka, asalkan tidak menam¬pakkan syi'ar-syi'ar agama mereka
di hadapan kaum Muslim. Namun, dalam perkara yang menyangkut hukum-hakam umum
iaitu mua’malat dan uqubat (hudud, qisas, ta’zir dan mukhalafat), maka atas
mereka (orang-orang kafir zimmi) diterapkan hukum¬-hakam Islam sepenuhnya.
Sebenarnya kedudukan mereka sebagai warganegara Daulah Islamiyah adalah sama
dengan kaum Muslimin dari aspek hak dan tanggungjawab sebagai warganegara.
Surah al-Maidah (5):48 dan juga an-Nisa (4):105 sudah cukup menunjukkan bahawa
hukum-hukum Islam itu wajib dilaksanakan ke atas seluruh warga negara, sama ada
Muslim mahupun kafir zimmi.
Teramat salahlah pandangan yang menyatakan bahawa kafir
zimmi tidak terikat dengan hukum Islam. Sungguh jauh dari kebenaran pandangan
ini dan teramat ganjil sekali. Apa tidaknya, istilah dan pengertian ‘zimmi’ itu
sendiri bermaksud “perlindungan yang diberikan kepada mereka kerana ketundukan
mereka kepada hukum-hakam Daulah (hukum Islam)”. Status ‘zimmi’ (perlindungan)
diberikan kepada mereka sebagai balasan dari ‘jizyah’ yang mereka bayar kepada
Daulah. Dan jizyah ini adalah hukum Islam, bukan hukum kufur. Jadi, bayaran
jizyah yang dikenakan ke atas kafir zimmi ini adalah terlalu jelas dan nyata
dan secara automatiknya menunjukkan kepada kita bahawa kafir zimmi wajib mengikut
atau tunduk kepada hukum Islam. Dengan kata lain, jika kafir zimmi tidak
tertakluk kepada hukum Islam, maka tidak perlulah mereka membayar jizyah. Dan
hal ini demi Allah sesungguhnya tidak akan terjadi (kerana kafir zimmi wajib
membayar jizyah dengan maksud mereka wajib tunduk kepada hukum Islam). Firman
Allah Subhanahu wa Ta’ala,
“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan
tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang
telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak beragama dengan ugama yang
benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani),
sehingga mereka membayar jizyah dengan keadaan tunduk patuh” [TMQ at-Taubah
(9):29].
Apabila orang-orang kafir zimmi menolak untuk dihukumi
dengan hukum-hakam Islam, maka Khalifah wajib memaksa mereka untuk tunduk.
Rasulullah Sallallahu ‘alihi wa Sallam pernah menulis surat kepada penduduk
Najran yang beragama Nasrani, dengan kalimat yang amat tegas sekali, di mana
sabda baginda, “Sesungguhnya siapa saja di antara kalian yang melakukan
transaksi (jual beli) dengan riba, maka tidak ada lagi perlindungan (zimmah)
atasnya.” Kedudukan penduduk Najran waktu itu adalah sebahagian dari Daulah
Islamiyyah. Selain ini, terdapat banyak hadis yang jelas menunjukkan bahawa
orang-orang kafir yang hidup di dalam Daulah Islam adalah dihukum menurut hukum
Islam atas kesalahan yang telah mereka lakukan. Dalam sebuah hadis riwayat dari
Anas, “Seorang Yahudi telah menyepit kepala seorang perempuan dengan dua buah
batu. Kemudian ditanyakan kepadanya siapakah yang melakukannya? Ia menjawab,
‘sifulan atau sifulan’ dengan menyebut nama seorang Yahudi. Rasulullah
Sallallahu ‘alihi wa Sallam bertanya, ‘Apakah engkau telah menyepit kepalanya?’
Yahudi itu akhirnya mengakui perbuatannya. Kemudian Rasulullah Sallallahu
‘alihi wa Sallam memerintahkan untuk menyepit kepala Yahudi itu dengan dua buah
batu (iaitu membunuhnya)”. Dalam riwayat Muslim disebutkan, “...maka ia dibunuh
lantaran ia datang kepada Nabi dengan menyerahkan jiwanya”
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan
Muslim,
“Bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alihi wa Sallam telah pun
menghukum rejam dua orang Yahudi. Kedua-dua itu sebelum berzina telah merasai
persetubuhan melalui perkahwinan di dalam agamanya”.
Imam Nawawi dalam Minhaj At-Thalibin menyatakan, “Dan had
(hudud) untuk penzina muhsan, mukallaf yang merdeka adalah rejam. Syarbini
berkomentar menjelaskan ungkapan ini, “..kerana Nabi telah merejam dua orang
Yahudi sebagaimana diriwayatkan dalam Sahihain, dalam tambahan riwayat Abu
Daud, ‘mereka berdua adalah muhsan’. Tambahan lagi, akad zimmah adalah syarat
untuk melaksanakan hudud ke atas zimmi, bukan kerana statusnya muhsan” [Nihayat
Muhtaj VII:427].


0 komen:
Post a Comment