Pendirian Pemuda Pas dalam beberapa isu kebelakangan ini termasuklah dalam soal hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP telah menjadi bukti, bahawa Pemuda hanya sekadar pelengkap sayap sebuah organisasi.Sudah tidak ada lagi harapan untuk melihat Pemuda Pas menjadi kumpulan pendesak yang boleh memberi tekanan kepada pucuk pimpinan parti bagi memulihkan imej Pas kini yang dikatakan semakin tercalar.Pemuda Pas juga sama seperti pemimpin-pemimpin Pas lain yang meletakkan kepentingan memburu kuasa bersama-sama PKR dan DAP menjadi agenda utama.
Perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas akan berlangsung di Kota Bharu, hari ini, disusuli dengan persidangan penuh esok.
Bagaimanapun tiada apa yang diharapkan dalam muktamar tersebut yang sudah pastinya dianggap hanya sekadar memenuhi agenda sebuah organisasi.
Sudah pastilah apa yang menjadi agenda utama dewan berkenaan ialah untuk memastikan kemenangan Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Tidak usahlah kita mengharapkan Pemuda Pas akan bersuara lantang dalam mengetengahkan isu-isu yang kini semakin hangat dibualkan terutamanya mengenai kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang.
Tidak apalah Pas dianggap pak turut, biarlah Pas dilihat hanya memburu kuasa politik, tidak kisahlah kalau Pas dianggap semakin meninggalkan perjuangan Islamnya, semua itu tidak akan menjadi tumpuan utama Pemuda Pas.
Sebaliknya apa yang kita akan saksikan ialah ucapan dan perbahasan berbaur retorik yang seolah-olah ingin menggambarkan Pas sebuah parti yang sempurna segala-galanya.
Pendirian Pemuda Pas dalam beberapa isu kebelakangan ini termasuklah dalam soal hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP telah menjadi bukti, bahawa Pemuda hanya sekadar pelengkap sayap sebuah organisasi.
Sudah tidak ada lagi harapan untuk melihat Pemuda Pas menjadi kumpulan pendesak yang boleh memberi tekanan kepada pucuk pimpinan parti bagi memulihkan imej Pas kini yang dikatakan semakin tercalar.
Pemuda Pas juga sama seperti pemimpin-pemimpin Pas lain yang meletakkan kepentingan memburu kuasa bersama-sama PKR dan DAP menjadi agenda utama.
Sebab itulah, tidak usahlah kita menaruh harapan bahawa Pemuda Pas akan bercakap soal hukum hudud, kalau pun mereka berbahas isu itu tumpuan mereka ialah menyerang pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Mereka sama sekali tidak akan berani menyentuh penentangan pemimpin-pemimpin DAP terhadap hukum hudud demi menjaga keharmonian 'tahaluf siyasi'.
Malahan sudah pasti Pemuda Pas juga tidak akan menyentuh soal polemik kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar kerana sebelum ini biar pun ada seorang dua pemimpin Pemuda membuat kenyataan ia sekadar atas angin sahaja.
Tiada langsung keberanian untuk menyebut nama Nurul Izzah dan kenyataan yang dibuat sekadar lepas batuk di tangga sahaja.
Semua ini berlaku kerana Pemuda Pas tidak mahu dilihat bagaikan kelikir dalam kasut yang akan menyusahkan 'perjalanan' Pas ke Putrajaya. Tidak kisah apa pun yang hendak berlaku kepada perjuangan Islam parti itu atau apa sahaja yang hendak dilakukan oleh PKR dan DAP, apa yang penting Pas jangan ditinggalkan.
Sememangnya, tidak salah untuk Pemuda Pas dengan penuh semangat menanam tekad bagi memastikan kemenangan pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.
Dalam soal semangat ini, tiada siapa pun boleh menafikan ahli-ahli Pas sememangnya cukup hebat, sebab itulah dalam pilihan raya merekalah jentera pembangkang paling efisien sehingga dijadikan tempat bergantung oleh PKR dan DAP.
Malahan ahli dan penyokong Pas juga paling setia memenuhi majlis-majlis ceramah pakatan pembangkang.
Tetapi apakah perasaan bersemangat ini akan menguntungkan Pas? Semua orang tahu bagaimanakah kedudukan parti itu dalam pakatan pembangkang dan inilah perkara penting yang seharusnya diketengahkan oleh Pemuda Pas.
Namun ramai yang percaya Pemuda Pas tidaklah seberani mana dalam membuat teguran. Kalau boleh muktamar kali ini, mereka ingin bercakap yang elok-elok sahaja. Mereka mahu tunjuk kepada rakyat terutamanya orang Melayu bahawa parti itu tidak ada masalah dan sudah bersedia mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya umum.
Sudah pastilah sikap Pemuda Pas itu akan menggembirakan PKR dan DAP kerana selama ini kedua-dua parti tersebut amat memahami keterujaan Pas untuk memburu kuasa bersama mereka. Sebab itulah Pas bersedia berkorban apa sahaja demi menjaga 'tahaluf siyasi' dengan kedua-dua parti tersebut.
Kalau Pemuda Pas tidak bersetuju dengan pandangan ini, mereka perlu hadir ke muktamar hari ini untuk menebus maruah Pas yang semakin tercalar.
Tidak usahlah berdegar-degar berpidato yang diiringi dengan ayat-ayat al-Quran dan potongan hadis tetapi realitinya perjuangan Islam tidak ke mana.
Pemuda Pas perlu ada keberanian untuk membuat desakan bagi meningkatkan martabat parti itu dalam pakatan pembangkang, mereka perlu ada keterujaan untuk benar-benar memastikan perjuangan Islam tidak sekadar menjadi slogan dan hukum hudud bukan sekadar satu catatan.
Jika itu tidak mampu dilakukan maka sudah pasti muktamar dewan berkenaan sekadar hanyalah retorik dan lebih daripada itu memberi keyakinan kepada PKR dan DAP untuk terus 'memperkudakan' Pas bagi mencapai cita-cita politik mereka.
Atas sebab itulah, Pemuda Pas tidak boleh terlalu terikat dengan keterujaan untuk memenangi pilihan raya semata-mata kerana dari segi jangka masa panjang, apa yang berlaku sekarang banyak tidak menguntungkan politik Pas. Bagaimanapun kita percaya, Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ini tidak akan memberi sebarang isyarat yang menunjukkan ada keberanian luar biasa pertubuhan itu untuk menyelamatkan imej Pas.
Sebaliknya, kepimpinan Pemuda Pas akan terus dilihat hanya berani untuk mengatur strategi bagi berhadapan dengan BN dan UMNO tetapi bukan menegur keceluparan atau kesilapan pakatan pembangkang.
Apa pun terpulang kepada Pemuda Pas untuk menentukan bagaimana perjalanan muktamar mereka tetapi apa yang pasti sama ada mereka hendak mengakui atau tidak, Pas kini semakin hilang kredibiliti sebagai parti Islam. Keadaan itu berlaku kerana Pemuda Pas sudah diresapi sindrom terlalu menjaga hati pucuk pimpinan. Mereka bimbang jika sebarang teguran atau kritikan dibuat ia boleh memberi isyarat bahawa Pas bermasalah. Namun Pemuda Pas perlu faham sama ada mereka tegur atau tidak, bersuara atau tidak, orang Melayu sudah tahu di mana kedudukan Pas sekarang.
Oleh itu sepatutnya Pemuda Pas bersikap jujur dan bukannya hipokrit dalam memastikan parti itu kembali kepada perjuangan asal. Sikap tidak berani menegur kesilapan dan kepincangan yang berlaku tidak akan memperkukuhkan Pas, sebaliknya hanya melemahkan parti berkenaan.
Sebab itulah, ketika penulis berbual-bual dengan beberapa ahli Pemuda Pas di peringkat akar umbi, mereka amat mengharapkan Pemuda Pas mempunyai keberanian untuk menegur pucuk pimpinan terhadap perjalanan politik Pas sekarang.
''Buat apa kalau kita bersemangat hendak menang pilihan raya dengan membuat pelbagai kritikan kepada UMNO dan BN sedangkan parti kita sendiri penuh dengan masalah.'Pelbagai pandangan yang dilontar oleh mereka di luar parti berhubung keadaan Pas perlu diambil kira supaya dalam pilihan raya nanti, Pas tidak lihat hanya bekerja dan bersorak untuk kemenangan orang lain,'' kata seorang pemimpin muda Pas yang akan menjadi perwakilan dalam muktamar kali ini.
Apa pun terserahlah kepada Pemuda Pas untuk menentukan sikap mereka dalam muktamar kali ini, yang pasti orang sudah melihat jika Pas induk 'pak turut', Pemuda Pas pula hanya sekadar 'tukang angguk'.
© Utusan Melayu (M) Bhd

0 komen:
Post a Comment