RAPATKAN BARISAN!!! BLOG MAKLUMAT PELBAGAI SUMBER.. CEPAT DAN TEPAT... TERUS BERSAMA KAMI UNTUK BERITA-BERITA TERBARU DARI BLOGGER!!!

Monday, 19 November 2012

DOA "KO BN" NYATA DIRESAPI EKSTREMIS




BESUT - Pas jelas telah mula diresapi fahaman firqah atau golongan ekstrem hingga sanggup mengadakan solat hajat dan berdoa supaya Umno dihancurkan, kata Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin.

Beliau berkata menggunakan perkataan 'jahanam' dan mendoakan supaya Umno hancur bukan amalan Islam sebaliknya datang daripada fahaman golongan Khawarij yang hanya menganggap bahawa mereka sahaja betul berbanding dengan orang lain.
   
"Apakah orang Umno itu tidak Islam hingga Pas sanggup berdoa supaya Umno hancur yang jelas menunjukkan mereka berfahaman Khawarij," katanya kepada Bernama di sini hari  ini.
Antara ajaran utama golongan Khawarij ialah melabelkan kaum muslimin yang kononnya melakukan dosa besar sebagai kafir.

Beliau mengulas tindakan Pas yang mengadakan solat hajat dan berdoa  supaya Umno hancur di Stadium Sultan Muhammad IV Jumaat malam lalu yang dipimpin adik kepada Mursyidul Am Pas, Nik Razi Nik Mat sempena perhimpunan anjuran parti pembangkang berkenaan.

Antara kandungan doa itu ialah meminta Umno dan Barisan Nasional (BN) dijahanamkan seperti Firaun ditenggelamkan ke laut, Qarun ditelan bumi dan Namrud serta Abu Lahab dilaknati serta dipermudahkan pembangkang.

Doa juga memohon supaya pembangkang mendapat jalan mudah ke Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata sepatutnya sebagai parti yang majoriti ahlinya beragama Islam, Pas tidak berbuat sedemikian kepada saudara sesama agama yang menjadi anggota Umno.

Memberikan contoh keadaan Nabi Muhammad SAW yang direjam dengan batu oleh penduduk Taif ketika berdakwah, beliau menegaskan baginda tidak mendoakan kehancuran mereka malah berdoa supaya mereka akan beriman kepada Allah SWT.

Katanya oleh sebab itu, kerajaan menekankan kepada fahaman berdasarkan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan.

DI KOTA BHARU, bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan Wan Ismail Wan Ahmad berkata Islam tidak pernah mengajar untuk memohon doa turun bala kepada sesama orang Islam walaupun berlainan pendapat.

"Dalam Islam tak boleh doa minta bala kepada sesama orang Islam... kena minta doa supaya suruh masuk iman...perkara itu menyamakan Muslim yang didoakan sama seperti mereka bukan Islam," katanya ketika dihubungi Bernama.

Ismail yang juga antara pengasas Pas berkata Nik Razi patut insaf dengan perbuatannya kerana bercanggah dengan ajaran Islam.

"Pas patut berhenti melaung-laungkan perjuangan untuk  menegakkan Islam kalau terus bersama dengan bukan Islam. Kalau Pas sudah berjuang dengan kafir, maka tak ada bezalah Pas dengan Umno," katanya.

Sementara itu, Pengasas Madrasah Najmiah atau lebih dikenali Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Saamah menyifatkan tindakan mendoakan kehancuran Umno sebagai satu dosa besar kerana bercanggah dengan al-Quran dan Hadis.

"Inilah yang dipanggil Khawarij iaitu puak yang terkeluar daripada Akidah dan Fiqh yang sebenar... mereka sentiasa cari  jalan untuk menjatuhkan sesama Islam," katanya ketika dihubungi.

Di ALOR SETAR, Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan tindakan Pas itu sebagai melampau.

"Pas sepatutnya mendoakan agar rakyat Malaysia hidup bersatu-padu bukan memecahbelahkan," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian 'durian runtuh' kepada generasi kedua peneroka di Felda Bukit Tembaga.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom yang kesal dengan tindakan Pas itu berkata orang Islam harus mendoakan untuk kebaikan dan kesejahteraan sesama umat dan perbuatan sebaliknya melambangkan kejahilan mereka yang mengabaikan tuntutan agama.

"Kita sepatutnya bangga dan bersyukur kerana ALLLAH SWT memberi kesedaran kepada pemimpin Islam kita yang berjaya memimpin dan meletakkan Islam pada kedudukan tinggi," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian 'durian runtuh' kepada generasi kedua peneroka di Felda Laka Selatan di Changlun.

Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu itu berharap rakyat terutama yang beragama Islam menilai keikhlasan perjuangan Pas dalam menegakkan kebenaran yang diunjurkan Islam dan menolak mereka pada pilihan raya umum ke-13.

Di CHANGLUN, Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tindakan Pasitu adalah doa lakonan politik semata-mata dan ia adalah doa yang sia-sia.
Beliau berkata, doa itu adaah doa yang boleh menghancurkan perjungan Pas itu sendiri.
"Kan lebih elok jika mereka berdoa supaya PAS dan Umno ini bekerjasama dan bersatu padu untuk masa depan ummah yang lebih baik apatah lagi kita baru sahaja menyambut Maal Hijrah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kokurikulum Matrikulasi (Kakum) Kali Ke-12 di Kolej Matrikulasi Kedah di sini hari ini.
Beliau berkata, dengan anggota jemaah yang ramai lebih baik mereka (Pas) mendoakan supaya ALLAH memberi perlindungan kepada masyarakat Palestin yang sedang dizalimi oleh Israel.
Di SEMPORNA, Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran berkata, tindakan Pas itu adalah tindakan amat tidak wajar dilakukan terhadap sesama Islam.
Nasir yang juga menteri yang bertanggngjawab terhadap hal ehwal Islam di Sabah berkata, Pas sepatutnya berdoa untuk kebaikan demi kesatuan umat Islam dan bukannya memohon keburukan untuk orang lain.
"Pada zaman Rasulullah SAW, baginda ketika menghadapi pelbagai cabaran menghadapi musuh, memohon kepada ALLAH supaya didatangkan kebaikan dan bukan sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Semporna di sini hari ini.
Sehubungan itu, Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Senallang mengingatkan umat Islam di negara ini agar terus bersatu dan tidak
berpecah-belah walaupun berbeza fahaman politik kerana perpecahan hanya melemahkan bangsa dan umat Islam sendiri.
Katanya, sesuai dengan sambutan Maal Hijrah tahun ini yang menganjurkan sikap kesederhanaan dalam segala hal, umat Islam perlu sentiasa memastikan tindak-tanduk mereka tidak tergelincir dari landasan Islam sebenar.
Di IPOH, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, Pas sepatutnya mendoakan sesuatu yang baik kepada Umno yang anggotanya juga beragama Islam.

"Apabila kita berdoa...kita doakan yang baik-baik sahaja, itu prinsip berdoa. Macam mana sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai asas simbol parti boleh mengadakan doa yang bertentangan dengan prinsip berdoa," katanya kepada pemberita selepas majlis mengimarahkan perpustakaan di Perpustakaan Desa, Kampung Tengku Hussein Baru.

Ahmad Husni yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata, negara memerlukan sebuah parti yang dapat menaungi kesemua kaum yang ada di negara ini supaya kepelbagaian serta perbezaan yang ada dalam masyarakat majmuk dapat disatukan.

Di PUTRAJAYA, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan Pas itu disebabkan terlalu taksub dengan kuasa sehingga tergamak bertindak sedemikian.

"Umno dan BN bukannya zalim sehingga disamakan dengan firaun. Ada yang tidak kena dan tidak betul dengan orang yang bertindak sedemikian," katanya kepada pemberita.

Ismail Sabri berkata selama ini tidak pernah mendengar orang mendoakan kehancuran sesama Islam, orang jahat pun kita tidak boleh mendoakan kehancurannya sebaliknya doakan hatinya terbuka untuk menjadi baik.  - Bernama

0 komen:

Post a Comment

VIDEO PILIHAN : KALIMAH ALLAH