KUALA LUMPUR, 16 Julai – Hasrat Pas untuk menjadi tulang belakang kepada pentadbiran negara jika pakatan pembangkang menguasai kerajaan pusat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang adalah satu gimik politik bagi meletakkan kononnya parti tersebut lebih dominan berbanding sekutunya iaitu DAP dan PKR sendiri.
Penganalisis politik tempatan, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein melihat ‘keberanian’ Pas menyuarakan hasrat untuk menambah jumlah kerusi yang akan ditandinginya sehingga 80 kerusi diibaratkan seperti menangguk di air keruh.
“Persoalannya mengapa baru hari ini Pas berani bersuara dan bukan sejak dari awal lagi? Ini kerana mereka telah mencongak kononnya merekalah yang akan menggantikan peranan PKR setelah pelbagai masalah dalaman yang terlondeh di kalangan kepimpinan PKR sendiri,” katanya kepada UMNO-Online di sini.
Jelasnya, kerana itu jugalah Pas berani meletakkan sasaran untuk bertanding sehingga 80 kerusi biarpun hakikatnya ia tidak mungkin akan menjadi nyata.
“Saya percaya sekiranya Pas mahu meletakkan lebih sasaran untuk bertanding dalam PRU akan datang, maka mereka akan berdepan dengan masalah bukan saja dari anggotanya tetapi juga dari sekutu pakatan pembangkang sendiri.
“Setakat bercakap mahu letak kerusi lebih bolehlah tapi untuk melaksanakannya belum tentu lagi kerana PKR mahupun DAP sendiri tidak mungkin berdiam diri walaupun sebenarnya mereka ini memasang angan-angan yang tinggi.”
Sebelum ini, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, jumlah kerusi yang akan ditandingi parti tersebut mungkin meningkat sehingga 80 berbanding 66 kerusi dalam pilihan raya umum lalu.
“Dalam diam, selama ini Pas juga berangan untuk menguasai negara sebagai kuasa dominan dan menyimpan cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dan apabila pelbagai masalah dalaman terbongkar membabitkan kepimpinan DAP dan PKR maka Pas serta-merta mula perasan bahawa mereka mampu menguasai pakatan terbabit.
“Jadi sahlah bahawa justifikasi melebihkan kuasa daripada segala-galanya amat terselah dalam Pas sehinggakan mereka sanggup saling memijak sekutu sendiri untuk bangkit dan bersuara,” katanya lagi.
Jelas beliau yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Pas boleh bercakap malah meletakkan calon-calonnya untuk berdepan PRU nanti tetapi belum tentu apa yang dilakukan oleh mereka dipersetujui oleh PKR dan DAP.
“Siapa pun boleh bercakap nak bertanding di mana atau berapa banyak kerusi tetapi biarlah berpijak pada hakikat kerana jika PRU lalu pun Pas yang bertanding 66 kerusi hanya mampu menang 23 saja sedangkan PKR dan DAP masih kekal sebagai parti pendahulu yang mempunyai lebih banyak kerusi.
“Pas bercakap tak berpijak di bumi nyata sedangkan dalam angka pun mereka tewas dengan PKR dan DAP apatah lagi untuk menyuarakan dan memasang angan-angan menjadi Perdana Menteri.”
Tegasnya lagi, jika benar sekalipun Pas akan bertanding dengan jumlah tersebut maka ia akan berdepan masalah dari segi kelayakan calonnya kerana mereka sendiri menghadapi krisis dalaman sebagaimana di Kedah yang tidak ada penyatuan malah masing-masing membayangkan mahu jadi Menteri Besar untuk musim akan datang.
Pada pilihan raya umum ke-12, Pas bertanding di 66 kerusi Parlimen dan menang 23 daripadanya, lebih kecil berbanding DAP dan PKR masing-masing bertanding di 47 dan 97 kerusi di mana DAP menang di 28 kawasan dan PKR pula 31 kerusi. -MediaUMNO

0 komen:
Post a Comment