“Sebahagian perwakilan mewujudkan perbandingan antara apa yang UMNO lakukan dan apa yang tidak. Itu adalah bagus kerana rakyat boleh membuat penilaian apatah lagi antara kegagalan pembangkang adalah ‘buku jingga’ itu sendiri yang di dalamnya terlalu banyak untuk diselami rakyat.”
KUALA LUMPUR, 2 Dis. – Para jurucakap yang akan membahaskan usul dalam Perhimpunan Agung UMNO 2011 perlu membuat tawaran bukan saja kepada anggota parti sahaja tetapi ia perlu dilihat kepada keseluruhan masyarakat di Malaysia, kata bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dato’ Dr Asri Zainul Abidin.
“Perhimpunan Agung UMNO ini tak sama dengan Muktamar Pas kerana jika muktamar Pas hanya melibatkan ahli-ahlinya saja sedangkan UMNO bercakap pada ‘nation’ sehingga mendapat liputan, secara langsung dan sebagainya,” katanya.
Jelas beliau, ucapan dalam persidangan ini bukan hanya untuk buat orang UMNO seronok tetapi juga mesti buat rakyat seronok.
“Ini adalah penting sebab banyak keadaan tidak berpihak pada UMNO dan ‘mood’ baru sekarang tidak berpihak pada UMNO, jadi mesti berubah biar pun mereka yang mahukan perubahan ini tak ada pelan pun untuk buat apa selepas berubah tetapi kerana ‘mood’nya sekarang adalah perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama UMNO-Online di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011.
Katanya, harapan yang diberikan akan dapat memenangi hati rakyat keseluruhannya dan tentunya yang akan memenangi hati rakyat dalam pilihan raya akan datang adalah pihak yang paling berjaya dalam meletakkan harapan kepada rakyat.
“Harapan adalah kunci kepada undi maknanya pihak yang paling banyak memberikan harapan kepada rakyat akan memenangi hati rakyat. Harapan ini pula pelbagai bergantung kepada latar rakyat, kehidupan rakyat misalnya di Kedah, di Kelantan. Parti yang paling berjaya adalah parti yang menampakkan semua harapan ini.
“Saya tengok sebahagian ucapan para perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO dan saya melihat orang UMNO perlu menyampaikan ucapan yang memberikan harapan baru kepada rakyat. ‘Mood’ dunia semuanya nak berubah tanpa mereka fikirkan pentingnya apa dia selepas berubah.”
Ujarnya, jika UMNO masih nak terus survive maka ia mesti cuba menempatkan harapan itu ada pada parti tersebut.
“Segala harapan adalah kepada perubahan, jadi orang UMNO mesti bercakap tentang harapan baru, dan lebih penting mereka bukan saja bercakap tetapi juga mesti buat. Saya rasa kalau itu yang mereka perkatakan dalam perhimpunan ini, rakyat akan faham.”
Berkaitan dengan transformasi juga, beliau menjelaskan bahawa ia mesti dibuktikan secara praktikal dan bukannya slogan sahaja.
“Kerana itu, UMNO mesti bercakap berkaitan harapan kepada perubahan, misalnya tidak perlu berubah keseluruhan tetapi UMNO itu sendiri akan berubah dari dalam. Ada sebahagiannya telah dibuat untuk dirasai oleh semua pihak termasuklah misalnya turun padang.
“Harapan rakyat terhadap sebuah negara seperti Malaysia berbagai-bagai. Ia tak sama dengan harapan rakyat di Indonesia atau di Filipina. Rakyat Malaysia mungkin tidak lagi mengharapkan pemberian wang dalam sampul, kerana itu mungkin cerita 20 tahun lepas biar pun sebahagian tempat masih harapkannya tetapi di sebahagian pula terutamanya di kawasan bandar mengharapkan supaya adanya satu sikap baru,” tegasnya.
Jelas beliau lagi, apa yang Perdana Menteri katakan bahawa generasi hari ini bukan generasi yang suka dibentak-bentak, mereka hanya berinteraksi dengan dunia maya dan lebih bertumpu kepada dunia baru sambil melayan sesuatu yang mereka rasa asas hak-hak mereka sendiri.
“Ada perubahan yang baik misalnya Akta Universiti dan Kolej (AUKU) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu adalah lambang bahawa UMNO boleh berubah, tetapi mesti benda itu digarapkan dalam bentuk pelaksanaan seterusnya.”
Tambah beliau lagi, semuanya pelaksanaan ambil masa tetapi pilihan raya terlalu dekat sementara ‘mood’ inginkan perubahan itu kuat.
“Apabila perwakilan pulang ke kawasan masing-masing kelak maka perlu tahu untuk bercakap dan ini mesti kena dengan bahasa berkaitan harapan banyak pihak. Apakah tawaran-tawaran yang boleh diberikan kepada mereka kerana itu adalah harapan.”
Jelasnya, untuk pembaharuan, UMNO perlu buktikan bahawa dia boleh tawarkan dan harmonikan tawaran-tawaran itu bukan saja dengan perkataan tetapi juga dengan pelaksanaannya.
“Sebahagian perwakilan mewujudkan perbandingan antara apa yang UMNO lakukan dan apa yang tidak. Itu adalah bagus kerana rakyat boleh membuat penilaian apatah lagi antara kegagalan pembangkang adalah ‘buku jingga’ itu sendiri yang di dalamnya terlalu banyak untuk diselami rakyat.” - MediaUMNO

0 komen:
Post a Comment