RAPATKAN BARISAN!!! BLOG MAKLUMAT PELBAGAI SUMBER.. CEPAT DAN TEPAT... TERUS BERSAMA KAMI UNTUK BERITA-BERITA TERBARU DARI BLOGGER!!!

Thursday, 29 November 2012

10 PEMERHATIAN MENJELANG PRU 13


10 PEMERHATIAN MENJELANG PRU13

Kebelakangan ini saya tidak berkesempatan untuk kerap menulis di blog. Bagaimanapun, ada beberapa ramalan dan pemerhatian mengenai isu-isu politik semasa yang boleh saya kongsi di sini.
Pertama, saya kekal dengan ramalan yang saya buat hampir dua tahun lalu iaitu pilihanraya umum ke-13 akan diadakan dalam suku tahun keempat (Q4) 2012. Ini bermaksud ia akan diadakan di antara Oktober - Disember, 2012.
Kedua, populariti Dato' Seri Anwar Ibrahim semakin menurun walaupun sambutan kepada Pakatan Rakyat tidak banyak berbeza. Di kalangan Pakatan Rakyat terutama PAS dan DAP, sudah ramai yang melihat perjuangan parti harus melampaui Anwar (beyond Anwar). Walaupun populariti Dato' Seri Najib Tun Razak lebih baik, namun faktor calon tempatan akan mempunyai pengaruh yang besar dalam pilihanraya nanti.
Ketiga, cabaran Barisan Nasional bukanlah kekuatan Pakatan Rakyat, tetapi kewujudan "warlords" dalam parti-parti komponen. Sehingga kini, masih ramai pemimpin parti yang tidak popular di kalangan rakyat, tetapi masih melobi untuk kekal menjadi calon. Mereka ini adalah penyumbang kepada kelemahan parti.
Presiden UMNO Dato' Seri Najib Tun Razak menjanjikan "winnable candidates" kepada rakyat. Bagaimanapun beliau akan berhadapan dengan kesukaran meletakkan calon pilihan rakyat disebabkan tentangan penyokong kepimpinan parti peringkat bahagian. Barisan Nasional akan kalah di sebahagian kerusi disebabkan pertembungan ini.
Keempat, keyakinan rakyat kepada kerajaan persekutuan (Barisan Nasional) adalah jauh lebih baik berbanding selepas pilihanraya 2008. Inisiatif kerajaan dalam banyak perkara memberikan impak positif kepada rakyat. Bagaimanapun sokongan kepada parti tersebut meningkat pada kadar yang perlahan berbanding kadar sokongan kepada kerajaan.
Kelima, kemasukan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, Dato' Lajim Ukin dan Dato Tamrin Ghafar tidak melemahkan UMNO, bagaimanapun ia mengukuhkan keyakinan (atau persepsi) parti-parti Pakatan Rakyat bahawa mereka semakin mendapat sokongan rakyat. Pemimpin lama ini masih bermimpi mereka popular di kalangan pengundi.
Keenam, selain Kadir, Lajim dan Tamrin, saya ramalkan beberapa orang lain Ahli Parlimen dan ADUN Barisan Nasional akan "melompat" ke Pakatan Rakyat apabila mengetahui nama mereka tidak dicalonkan semula menjelang PRU13. Lompatan ini tidak melemahkan Barisan Nasional atau mengukuhkan Pakatan Rakyat; cuma ia boleh digunakan untuk membina persepsi kepada parti-parti politik.
Ketujuh, kelompok minoriti akan membuat lebih banyak desakan dan tuntutan kepada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Kedua-dua pagar politik ini yang menjangkakan pilihanraya umum ke-13 sengit, akan berjanji untuk memenuhi tuntutan-tuntutan tersebut. Ramai yang akan menjadi seperti si luncai yang terjun dengan labu-labu.
Kelapan, sementara kerajaan Barisan Nasional akan menggunakan Bajet 2013 untuk mengukuhkan sokongan kepada parti tersebut, Pakatan Rakyat akan membuat janji-janji populis yang bersifat massa dan menyeluruh (seperti pendidikan dan perumahan). Sama ada janji-janji ini boleh dilaksanakan atau tidak (seperti manifesto 2008), itu tak penting. Apa yang penting ialah meraih undi.
Kesembilan, peratusan pengundi nomad (rujuk buku "Tunggu Apa Lagi", saya mengulas mengenai isu ini) bertambah. Kemenangan dalam PRU13 akan ditentukan oleh kelompok ini dan mereka merentasi batasan umur dan geografi.
Kesepuluh, sekiranya sebelum ini anak mengundi mengikut parti pilihan bapa / ibu, dalam PRU13 saya fikir keadaan akan menjadi terbalik. Malah, perbezaan pilihan dalam keluarga akan menjadi lebih besar berbanding pilihanraya-pilihanraya sebelumnya. Analisis sokongan individu kepada parti menjadi sukar, dan pengundi semakin berhati-hati menyatakan sikap kepada aktivis parti.
Sekadar itu catatan saya. Anda dipersilakan untuk berbeza pendapat dengan saya!

0 komen:

Post a Comment

VIDEO PILIHAN : KALIMAH ALLAH