BANGI, 14 Dis. – Timbalan Presiden ISMA, Tuan Hj. Aminuddin Yahaya menolak kenyataan pemerhati politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Agus Yusoff yang menyatakan agama dan bangsa bukan lagi isu utama dalam pilihanraya akan datang, sebaliknya ekonomi akan menjadi aspek utama yang harus diketengahkan.
Beliau mengatakan kenyataan Agus adalah tidak wajar dan berundur ke belakang, serta berpandangan bahawa parti UMNO dan PAS tidak relevan lagi sekiranya rakyat menerima kenyataan tersebut.
“Kalaulah itu diambil sebagai satu pandangan yang diterima semua orang, bermakna PAS sudah tidak relevan kerana PAS meletakkan agama sebagai dasar perjuangannya, sama juga UMNO menjadi tidak relevan kalau pandangan ini diterima masyarakat.
“Adakah ini yang dimaksudkan pemerhati politik itu? Jadi saya rasa kenyataan tersebut tidak wajar, apa lagi PAS nak cakap kalau bukan isu agama,” ujar En. Aminuddin.
Menurut laporan akhbar The Edge Financial Daily bertarikh 13 Disember 2012, Prof. Agus berkata isu ekonomi adalah perkara yang lebih penting di dalam pilihanraya kali ini dan bukan isu agama dan bangsa yang perlu dipergunakan bagi meraih undi rakyat.
Jelas En Aminuddin, proses pencairan identiti secara halus telah bermula sekiranya kenyataan tersebut diterima rakyat, selain turut memperlihatkan penghinaan terhadap umat Islam yang seolah-olah hanya berfikir tentang duit semata-mata.
“Ini satu penghinaan terhadap umat Islam dan bangsa Melayu sendiri seolah-olah dalam pemikiran mereka hanya fikir tentang duit, bukan soal agama dan bangsa.
“Sedangkan orang Melayu sangat sensitif tentang isu-isu agama ini, jadi saya rasa tidak wajar untuk mengatakan bahawa isu agama ini bukan lagi isu utama untuk PRU akan datang,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Encik Aminuddin berkata umat Islam hari ini perlu terus memperjuangkan agama dan bangsa bagi mengelak daripada tindakan yang merugikan dan memperlekehkan agama Islam dan bangsa Melayu oleh pihak-pihak lain.
“Dalam keadaan agama Islam didesak hari ini, bagaimana kita boleh katakan isu ini bukan isu utama yang harus diperkatakan sedangkan bangsa lain terus memperjuangkan bangsa dan agama mereka dengan mendesak pelbagai tuntutan dan desakan untuk memenuhi kehendak mereka.
“Jadi kalau kita orang Melayu dan Islam tidak mahu bercakap tentang agama dan bangsa kita, maka ini satu tindakan yang merugikan malah berundur ke belakang.”
