![]() |
| GAMBAR HIASAN |
“Akh, anta tau Ahmad tu couple, dah ikut usrah tapi couple lagi, pening pening”. Perbicaraan berlangsung sambil makan roti canai di sebuah kedai mamak.
“Ukht, anti tau tak, ana rasa Minah ni dah rosak hati, tengok dia selalu sms senyum senyum, ish risau la”. Perbicaraan berlangsung sambil mengayuh basikal beramai-ramai.
….berhenti sekejap…
Cuba anda bayangkan, Ahmad atau Minah adalah anda. Adakah anda senang hati mendengar ikhwah atau akhawat lain membicarakan kelemahan diri anda? Adakah anda akan tersinggung sekiranya perbicaraan itu berlangsung di hadapan anda?
Tentu sekali jawapan anda, TIDAK, SAYA TAK SUKA.
Maka kalau anda tidak suka, maka tidak ada orang yang suka dijadikan ‘topik’ buruk perbincangan.
Ya, begitulah, terkadang topik perbincangan masalah mad’u @ mutaraabi dibincangkan dalam suasana umum yang tidak sesuai. Anda mungkin berniat baik, tapi tersalah langkah.
Jadi di mana hendak bicarakan kelemahan mad’u (untuk dibaiki)? Ada tempatnya. Rahsia mad’u atau mutarabbi adalah rahsia anda, anda WAJIB selesaikan masalah dia, tetapi seandainya anda tidak mampu, maka anda boleh konsultansikan dengan murabbi anda tapi dalam suasana yang tertutup bukan di warung roti canai dalam keadaan ikhwah yang ramai.
Ghibah dan Namimah
Ikhwah Fillah,
Allah SWT memperingatkan sejak awal akan bahaya ghibah (mengumpat) iaitu membuka keaiban saudara sendiri yang diketahuinya kepada orang lain. Peringatan Allah diungkapkan dalam gaya bahasa komunikasi yang sangat efektif.
Allah SWT umpamakan orang yang mengumpat saudaranya seperti memakan daging mayat saudaranya sendiri.
“….dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan jangan sebahagian kamu mengunjing sebahagian yang lain, sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati?, maka tentulah kamu merasa jijik padanya…” (Al Hujurat 49: 12)
Akhi Fillah..
Apa maksud Allah memulai ayat dengan seruan kepada orang yang beriman?, (yaayyuhalladziinaaamanu) kenapa Allah mengaitkan perbuatan tercela dengan keimanan? Kerana sifat tercela tidak mungkin bersatu dengan sifat keimanan ibarat minyak dan air. Tidak mungkin seseorang yang beriman itu sanggup mengumpat saudaranya sendiri.
Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap muslim terhadap muslim lainnya haram darahnya, hartanya dan kehormatan dirinya” (HR Muslim)
Dengarkan kisah perjalanan Israk Mikraj Rasulullah SAW.
‘Pada malam perjalanan Israk Mikraj, aku diperihatkan dengan orang orang yang mencakar-cakar mukanya dengan kuku-kuku tajam mereka, aku bertanya: Wahai Jibril, siapakah mereka? Jibril menjawab: mereka adalah orang-orang yang mengunjing orang lain dan membuka aib (kehormatan dirinya)” (HR Abu Daud dengan sanad yang shahih)
Begitu dahsyat ancaman peringatan Allah kepada orang yang suka melakukan ghibah. Mudah-mudahan kita dijauhkan Allah, waliyazubillah.
Taqwim Tarbawi
Taqwim adalah penilaian ahli, selalunya taqwim tarbawi dilakukan sebelum meningkatkan mustawa (tahap) seseorang ahli bagi memastikan ahli tersebut benar-benar berkelayakan untuk ditingkatkan.
Maka, dalam proses ini, membicarakan keburukan ahli tersebut adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Seperti jarhwata’dil yang dilakukan oleh ahli hadis bagi menilai sesuatu hadis itu sahih atau tidak.
Maka keluarlah kenyataan-kenyataan seperti perawi si fulan si fulan ini tidak thiqah, lemah ingatannya dan lain-lain. Hal ini MESTI dilakukan demi menjaga kesucian kesahihan hadis, maka perkara ini tidaklah termasuk dalam ghibah sekalipun ia tetap membicarakan keburukan pelaku.
Demikian juga, dalam kita menjaga keaslian dakwah, maka taqwim tarbawi PERLU bagi memastikan hanya rijal-rijal yang layak sahaja diberi amanah memikul amanah dakwah yang berat.
Tetapi ingatlah ikhwah fillah, ketika kita menyentuh kelemahan-kelemahan al akh dalam proses ini maka jarak antara kita dengan ghibah sangatlah tipis, maka hendaklah sebelum kita melangkah dalam proses ini, kita sentiasa membersihkan hati dan mengikhlaskan niat kerana Allah.
Namimah
Namimah adalah mengadudomba, seperti seseorang berkata kepada kawannya, (katakan namanya Musa)
“Hei Musa, kau tau tak, Ahmad cakap kau ni tak berapa pandai memimpin, tengok banyak KPI tak capai’
Perkataannya tadi telah menyebabkan Musa tidak menyukai Ahmad dan mungkin boleh menyebabkan mereka bergaduh.
Rasulullah SAW bersabda:
Tidak akan masuk syurga orang yang melakukan namimah (HR Bukhari dan Muslim)
Kesimpulan
Nasihat orang Melayu dahulu kala ada menyebut:
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Bahaya yang dibawa oleh lidah tersangatlah bahaya, ia boleh merobek sebuah Jemaah yang utuh, ia bisa memperokperandakan masyarakat dan menenggelamkan umat.
Kerananya Rasulullah SAW ingatkan:
“Orang Muslim adalah yang orang Muslim lainnya selamat dari gangguan lisan dan tangannya” (HR Muslim)
Adakah kawan-kawan kita atau saudara-saudara kita telah selamat daripada kita?


0 komen:
Post a Comment